................................

Sunday, April 18, 2010

Achik Spin meninggal kemalangan

Dalam kenangan..allahyarham acik bersama keluarga..


KERETA Toyota Estima yang dinaiki bekas vokalis kumpulan Spin, Achik atau nama sebenar, Murad Md Shari, 28, dan sepupunya Salihin Md Salleh, 29, terbakar selepas terbabas dan melanggar tiang papan tanda di Kilometer 13, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) di Mantin, petang semalam.

SEREMBAN: Bekas vokalis kumpulan Spin, Achik atau Murad Md Shari, 28, maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas lalu merempuh tiang papan tanda sebelum terbakar di Kilometer 13, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) di Mantin, dekat sini petang semalam.

Kemalangan kira-kira jam 6 petang itu menyebabkan penyanyi yang pernah membintangi beberapa filem dan drama mati di tempat kejadian dan kereta Toyota Estimanya hangus. Mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat. Kejadian berlaku ketika Achik bersama sepupunya, Salihin Md Salleh, 29, yang duduk di tempat penumpang depan dalam perjalanan pulang ke Seremban 2 selepas selesai menjalani rakaman program Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Ketika ditemui di tempat kejadian, Salihin yang masih dalam keadaan terkejut memberitahu dia tertidur sepanjang perjalanan dan tidak tahu bagaimana kemalangan berlaku. “Apabila sedar, saya berada di tepi lebuh raya dan dalam kesakitan,” katanya yang patah tangan kiri dan kaki kanan sebelum dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan. Katanya, mereka bertolak dari pejabat perniagaan buku dan produk kesihatan milik Achik di Muar, Johor, kira-kira jam 7 pagi semalam ke Angkasapuri dan bertolak pulang ke rumah penyanyi itu di Seremban 2, kira-kira jam 4 petang.

Seorang saksi kejadian berkata, dia tiba di tempat kemalangan ketika kenderaan itu belum terbakar, manakala Achik dan Salihin masih berada di tempat duduk masing-masing, tetapi penyanyi itu dipercayai sudah meninggal dunia. “Saya bersama beberapa orang lain menarik kedua-dua mangsa keluar dari kenderaan ke tempat selamat. Tidak lama kemudian kenderaan itu mula terbakar dan api semakin marak," katanya.

Sepasukan anggota bomba tiba di tempat kejadian kira-kira jam 7.10 malam dan berjaya memadamkan kebakaran tidak lama kemudian. Acik yang berasal dari Felda Sendayan, dekat sini menyerlah dalam bidang seni ketika bersama Kumpulan Spin melalui album Roda Roda Rindu. Lagu Paling Comel dinyanyikannya bersama Nana atau Siti Nordiana Mohd Alias mendapat sambutan hangat peminat sehingga melonjakkan nama Achik dalam bidang muzik. Allahyarham juga pernah dinobatkan Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia Ke-17 menerusi filem Diari Romeo pada 2004.

Achik yang mengahwini HM Rosezaitul Suriani Wati Maarof, 29, pada 2005 kehilangan anak sulung, Puteri Rania pada 29 Mac 2007 ketika berusia dua bulan disebabkan masalah usus dalam perut. Sementara itu, Rosezaitul atau Tasha yang dihubungi Berita Minggu, tidak mampu berkata-kata kerana masih terkejut mendengar berita sedih itu, sebaliknya panggilan dijawab seorang gadis yang mendakwa sepupunya, Nurul Fazarin Roseli, 25, memaklumkan mereka dalam perjalanan ke HTJS. “Maaf... Tasha tak mahu bercakap dengan sesiapa, dia masih terkejut bila menerima berita kematian Achik. Kami dalam perjalanan ke hospital kerana baru saja dimaklumkan bahawa jenazah akan dihantar ke sana,” katanya.

Sebelum kemalangan, Achik bersama Nana baru saja menjayakan persembahan bersama RTM yang disiarkan secara langsung menerusi TV2, iaitu program hiburan Gah 1. Mereka sempat mendendangkan lagu baru, Cari Ketenangan dan Achik sendiri menyanyikan lagu solo barunya, Engkau Yang Ku Cinta.

Usaha mendapatkan komen Nana mengenai kejadian itu tidak berhasil apabila dia tidak membalas kiriman SMS mahupun menjawab panggilan telefon.

Berita dipetik dr BERITA HARIAN ONLINE 18.4.2010

al-fatihah buat acik. moga roh di cucuri rahmat.

bab
y

No comments: